*5 SEBAB PEMBATALAN HSR KL-SINGAPURA SATU KERUGIAN: KERAJAAN HARUS BERI PENJELASAN LEBIH MEYAKINKAN*
1. Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menzahirkan rasa kecewa di atas keputusan Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Republik Singapura untuk *membatalkan Projek Rel Berkelajuan Tinggi (High Speed Rail) yang menghubungkan antara Kuala Lumpur dan Singapura.*
2. Pembatalan projek infrastruktur berimpak tinggi dan mempunyai kesan gandaan ekonomi seperti HSR ini adalah *satu langkah ke belakang dan 'counter-productive' dalam usaha pemulihan ekonomi pasca Covid-19.*
3. Tindakan Kerajaan Malaysia ini adalah *satu kegagalan besar (big blunder) awal bagi tahun 2021* kerana ia ternyata menongkah arus tren pembangunan ekonomi semasa negara-negara jiran di rantau ini.
4. Bagi Pemuda UMNO, *5 SEBAB* utama mengapa keputusan membatalkan Projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) ini adalah satu kesilapan dan kegagalan:
a) Malaysia dianggarkan akan kehilangan sebanyak *RM209 bilion* dalam pendapatan kasar negara (PNK) dan potensi *70,000 peluang pekerjaan* jika HSR dibatalkan. Pusat Penyelidikan Institute of Developing Economies, Japan External Trade Organisation (IDE-JETRO) turut menyatakan bahawa HSR akan memberikan impak nilai *US$1 billion (RM4 bilion)* terhadap ekonomi kepada Malaysia setiap tahun.
b) Pembatalan HSR ini akan menjejaskan visi besar untuk mentransformasi ekonomi negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi (high income nation) yang bakal dinikmati rakyat dengan *pembukaan kluster-kluster pembangunan baharu sepanjang jajaran HSR melalui konsep Pembangunan Berasaskan Transit (Transit Oriented Development).* Bayangkan kemajuan yang bakal terhasil di kawasan-kawasan seperti Putrajaya, Seremban, Melaka, Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri selepas ini.
c) Sejurus HSR siap dibina, ia bakal *mengurangkan tempoh perjalanan di antara dua negara (Malaysia-Singapura) sehingga 90 minit,* sekaligus dapat mengurangkan kesibukan aliran trafik udara antara dua negara ini. Mengikut rekod perjalanan udara antara Malaysia dan Singapura adalah antara aliran udara yang tersibuk di dalam dunia dengan lebih 30,000 penerbangan dicatatkan pada tahun 2017.
d) Pembatalan projek ini juga akan memberi isyarat yang salah kepada pelabur domestik dan asing bahawa Malaysia tidak komited terhadap perancangan pembangunan negara dan serantau. Ini bakal *merencatkan kemasukan pelaburan baharu* yang akan memberi manfaat dan nilai tambah kepada ekonomi rakyat dan negara.
e) Projek HSR adalah penanda aras utama kemajuan dan pembangunan di rantau ASEAN. Jika dilaksanakan, projek
ini menjadi laluan rel keretapi berkelajuan tinggi rentas sempadan pertama di rantau ini. Laporan Infrastruktur Global 2016 pernah menilainya sebagai *projek infrastruktur strategik terbaik di dunia dari segi sumbangan terhadap produktiviti, daya saing, dan kesinambungan ekonomi serantau.*
5. Justeru, Pemuda UMNO mendesak agar Kerajaan Malaysia tampil memberikan *penjelasan yang lebih kukuh* berbanding dengan alasan simplistik kerana Pandemik Covid-19.
6. Pemuda UMNO juga menuntut *Kerajaan menjelaskan kebenaran berita yang tular di media massa* bahawa projek ini bakal digantikan dengan melantik secara rundingan terus (direct nego) kepada sebuah syarikat kroni swasta di atas jajaran HSR yang tamat di Johor Bahru sahaja tetapi dengan kos yang hampir sama!
*Dr. Asyraf Wajdi Dusuki*
_Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia_
2 Januari 2021
Search