Wawancara Jejak Anak Kampung Menjadi Warga Global...Siri 20.
Soalan
Ramai orang berimpian seperti Datuk ingin mengubah Dunia tapi sangat kurang dari segi pembacaan, menuntut ilmu dan bekerja kuat. Apakah pendorong utama Datuk dalam membawa diri dan Syariah ke peringkat antarabangsa?
(Soalan disumbangkan oleh Nasrullah Roznizam sebagai salah seorang 10 pemenang sesi wawancara Jejak Anak Kampung Menjadi Warga Global).
Datuk Dr Mohd Daud Bakar (MDB)
Kalau kita hidup di dunia ini tapi tak terdetik di hati dan tak teringin langsung nak mengubah dunia, kita sudahpun mati sebelum kita meninggal dunia. Apa guna hidup dengan nafas yang diugerahkan oleh Allah kalau kita tak langsung mengagendakan sesuatu untuk agama ini. Kita sudah diberikan keimanan dan sudah pasti ada tanggungjawab orang yang beriman. Kalau ibu yang hanya sekadar melahirkan kita, kita ingin berbakti kepadanya, apatah lagi Allah yang memberikan kita kehidupan dan kepadaNya kita akan kembali.
Tak salah jadi kaya (memang orang Islam kena jadi hartawan pun) tapi jangan lupa dan lalai dengan kekayaan. Gunakan kekayaan, keilmuan, pangkat dan kedudukan untuk membantu agama. Kalau nak bantu agama, kena ada agenda ubah dunia kerana dunia dibaluti dengan hawa nafsu dan tidak mahu tunduk di bawah satu kuasa yang lain terutamanya kuasa ketuhanan yang menyekat nafsu manusia yang rakus dan pentingkan diri sendiri. Ketuhanan dan prinsip-prinsip langit tidak disukai oleh sebahagian penduduk dunia. Manusia hanya perlu ikut manusia..itu omong mereka. Itulah maxim dan mantra dunia hari ini dan juga di masa lepas. Ini adalah perhambaan manusia sesama manusia tapi sekarang dalam bentuk moden.
Soalnya, bagaimana untuk mengubah dunia? Ini yang paling menarik. Macam-macam orang macam-macam pula teori dan pendekatan. Apa pun yang kita buat atau ingin lakukan, kita hendaklah sentiasa berilmu dan berhikmah. Tidak ada jalan pintas untuk mengubah dunia. Apa guna kita paksa dunia dan juga masyarakat kita sendiri untuk menerima Islam tetapi hati dan minda mereka 'kufur' dan tidak selesa dan tidak yakin dengan Islam. Sehubungan dengan itu, pendekatan keras dan juga senjata amat membahayakan kerana ia bukan sahaja meletakkan nyawa ramai orang dalam risiko tetapi juga menjadikan imej Islam agama yang tidak ada kemanusian dan toleransi. Lebih teruk lagi apabila ianya berlaku dalam masyarakat Muslim sendiri samada atas alasan akidah (seperti pandangan Syiah bahawa Sunni boleh dibunuh) atau pun alasan bid'ah oleh sebahagian golongan Muslim yang sudah esktrim dalam pemahaman Sunnah dan bid'ah atau atas alasan perundangan Syarak yang mesti dijunjung dalam apa keadaan sekalipun seperti yang berlaku di setengah iklim masyarakat Islam. Saya telah memerhatikan suasana ini secara dekat dalam perjalanan saya di seluruh pelusuk dunia.
Di sinilah pentingnya ilmu dan hikmah. Dalam al-Quran sekalipun, Allah SWT menyarankan kepada kita supaya berinteraksi dengan golongan yang bukan Muslim dengan skrip yang paling baik. Dalam konteks dakwah, ditekankan pendekatan hikmah dan peringatan yang baik dan lunak. Anda tersilap kalau memahami ilmu di sini hanyalah berkaitan dengan ilmu agama semata-mata. Ia merangkumi ilmu agama dan ilmu kehidupan. Bagaimana untuk berhadapan dengan masyarakat moden kalau bekalan dalam beg ilmu kita sekadar perkara-perkara asas dalam agama. Ilmu sains, genetik, anatomi, astronomi, ekonomi, sosiologi dan lain-lain adalah sebahgian bekalan da'i moden. Saya tidak mengatakan kita perlu pakar dalam semua bidang kehidupan tetapi kita perlu relevan dan semasa dengan pengetahuan semasa masyarakat moden.
Tiada ada had pengukur minima bagaimana menjadi seorang yang relevan dan semasa khususnya dalam bidang kepakaran masing-masing. Di sinilah penting sekali untuk membuat pembacaan intensif kepada ilmu-ilmu kehidupan yang lain. Saya dapat melihat mereka yang luas dan banyak pembacaan adalah lebih seimbang jiwa dan personaliti mereka. Mereka juga mungkin lebih dekat dengan zon "hikmah" dalam segala aspek pemikiran dan gerak kerja. Sungguh hebat kuasa hikmah ini. Kalaulah ilmu pengetahuan sudah mencukupi, tidak perlu Allah menyebut tentang hikmah sebagai punca kebaikan.
Di samping pembacaan yang luas tentang Islam dan juga kehidupan, pengalaman bergaul dengan ramai orang dari pelbagai latarbelakang dalam pelbagai geografi akan lebih mematangkan diri kita. Alhamdulillah, aset dan bekalan saya yang paling mahal dan mampan ialah pergaulan dan rakan kenalan saya yang amat luas. Inilah aset terbesar saya dalam kehidupan ini. Dengan pergaulan ini, "hikmah" atau paling tidak pun "pandangan yang seimbang dan global" saya dapat perolehi. Dari pengalaman di Sudan ke Morocco ke Eropah dan Timur Tengah serta rantau Asia Pasifik, saya sudah tentunya mendapat satu "world view" yang mana ramai rakan-rakan saya tidak berpeluang melihatnya walau sekuat mana pun mereka berusaha. Aktiviti saya terbang dan bergaul di peringkat antarabangsa bukan aktiviti tahunan tapi boleh dikatakan aktiviti setiap bulan.
Terdapat juga di kalangan kita yang ingin merubah dunia tetapi berjiwa dan berminda domestik. Mana mungkin kita boleh mengubati dunia yang sakit sedangkan kita hanya tahu penyakit di Malaysia sahaja. Saya ingin berterus terang di sini iaitu jiwa yang tidak disuluhi dengan suluhan keantarabangsaan tidak boleh terjun ke pesada antarabangsa dalam memperjuangkan isu-isu antarabangsa. Ramai yang telah tersalah dan tersilap langkah, kenyataan polisi malah pendirian dan sikap resmi. Sebabnya ialah kerana mereka hanya berada di anjung dunia bukan dalam pusingan graviti dunia. Terlanjur rakit boleh diundur, tersalah cakap dan polisi, seluruh dunia akan ingat sampai bila-bila. Kredebiliti kita akan terjejas.
Dalam konteks kewangan Islam, saya telah ditanya di banyak forum antarabangsa "perlukah penasihat Syariah dikawal selia secara rapi dan dikenakan tanggungan dan liabiliti profesionalisma sekiranya mereka cuai dan tidak berperanan seperti yang sepatutnya". Saya perlu menjawab soalan ini dengan mengambil kira sentimen dunia pada hari ini selepas banyak kegagalan kewangan akibat salah urus tadbir dan kawal selian. Saya terus menjawab tanpa teragak-agak, "Semua orang yang bertindak sebagai penasihat dalam bidang kewangan mestilah mempunyai tanggungan yang ketat (strict liability) sebab urusan kewangan adalah amat sensitif kepada kestabilan negara". Saya bukan hanya mengiyakan soalan tersebut tetapi menambah ia sepatutnya berbentuk tanggungan ketat atau keras iaitu "dianggap salah atau cuai melainkan dibuktikan sebaliknya iaitu tidak berlaku kecuaian dari pihak penasihat Syariah".
Kalau saya masih mempertahankan 'kesucian' para penasihat Syariah, saya sebenarnya melawan arus. Di peringkat antarabangsa, saya amat menyedari tentang gerakan untuk meletakkan semua orang yang terlibat dalam aktiviti kewangan di bawah "kanta pembesar" supaya telus dan bertanggungjawapan. Pandangan umum bahawa "ulamak" tidak salah dan tidak akan cuai bukan lagi skrip yang baik dalam masyarkat moden. Semua orang mesti ada soalan yang kena dijawab dan dibuat pemerhatian (due diligence). Saya pun terpaksa menandatangi banyak dokumen yang menuntut saya melakukan banyak pendedahan dan juga mengambil tanggungan kalau saya silap samada secara sengaja atau cuai. Memang menakutkan. Tapi itulah realiti semasa. Lanskap dunia sudah berubah.
Kalau kita nak merubah dunia, kita mestilah mengikut acuan yang baik yang telah sedia ada dalam dunia. Kita kena memahami acuan ini untuk kepentingan Islam. Kalau kita belum lagi memahami acuan ini atau tidak bersedia untuk diletak dalam acuan ini, tidak payahlah bermimpi nak merubah dunia. Ubahlah diri anda dulu untuk memerhati apa yang berlaku di sekeliing anda. Bila anda dah bersedia, terjunlah dalam lautan dunia dengan pelampung keilmuan dan hikmah.
MDB - Syariah Adalah Kehidupan.
bidang anatomi 在 Dr Mohd Daud Bakar - Shariah Minds - Minda Syariah Facebook 的最佳解答
Wawancara Jejak Anak Kampung Menjadi Warga Global - Siri ke 13
Mohd Danial Madani (MDM)
Saya dapati Datuk agak lewat dalam menghasilkan karya sendiri sehingga terbitnya buku pertama Datuk pada tahun ini iaitu Minda Syariah Kewangan Islam dan buku kedua "Saya Ada 25 Jam Sehari". Apakah yang membuatkan Datuk bersemangat untuk menukis buku? Pastinya ada rahsia di sebalik semangat tinggi Datuk untuk terus menghasilkan karya berikutya.
Datuk Dr Mohd Daud Bakar (MDB)
Saya sememangnya menunggu soalan semacam ini. Terima kasih Danial kerana terlintas untuk bertanya soalan yang dinanti-nantikan ini. Bak kata pepatah Melayu "orang mengantuk disorong bantal" dan "pucuk dicita ulam mendatang". Mengapa soalan ini cukup istimewa? Soalan ini adalah tentang fasa kehidupan saya yang baru dalam awal umur 50an. Di peringkat usia saya awal 30an, saya aktif dalam dunia akademik dan pentadbiran universiti dan juga kepenasihatan Syariah. Di awal usia 40an, saya terjun dalam dunia keusahawanan tanpa ada sebarang pengalaman bekerja sendiri dan korporat. Alhamdulilah, di awal umur 50an saya, terdetik suara hati untuk menjadi seorang penulis. Penulis karya-karya Syariah dan kehidupan dalam bahasa dan persembahan yang moden dan 'trendy'.
Soalan cepu emas ialah apakah yang mengetuk pintu hati saya untuk menulis sebuah karya? Saya telah menulis lebih dari 40 artikel ilmiah tapi belum ada satu pun buku. Penulisan saya yang agak panjang dan boleh dicetak sebagai buku sebelum ini adalah sebuah karya saya di penghujung 1990an berjudul "Ratiocination in Islamic legal theory" atau "Mencari 'Ilah dalam Teori Perundangan Islam". Karya in dibuat untuk satu pertandingan anugerah peringkat Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Ia agak teknikal dan ilmiah. Mungkin satu hari nanti saya akan menerbitkan karya teraebut. Ianya menarik untuk melihat bagaimana "asas hukum Ilahi" dapat diketahui melalui "pengamatan dan pemerhatian manusia yang sistematik, logikal dan koheren".
Karya buku pertama saya ialah "Minda Syariah Kewangan Islam : Kisah Balik Tabir Perspektif Cendekiawan Syariah" (iaitu terjemahan kepada buku asal saya dalam bahasa Inggeris iaitu "Shariah Minds in Islamic Finance : An Inside Story of a Shariah Scholar". Kenapa saya tiba-tiba seronok dan termotivasi menulis buku ini? Jawapannya ialah bila saya dapat rasa dalam minda saya dengan jelas kenapa buku ini penting dan kenapa ianya berbeza dengan buku-buku yang lain dalam pasaran. Kadang-kadang faktor kelainan penting dalam memberikan motivasi baru dan tinggi. Kalaulah saya ingin menulis sesuatu tema atau cara persembahan yang telah ditulis oleh orang lain, mungkin saya boleh siapkan buku tersebut tapi pastinya mengambil masa yang panjang. Sebabnya ialah kerana motivasi dan kehendak diri (willpower) tidak bagitu kuat. Saya pernah rancang nak tulis buku "Islamic Commercial Law for Practitioners" dan juga "Komentar Kepada Piawaian Syariah AAOIFI". Namun selepas menulis beberapa helai, minat dan motivasi sudah lentur. Motivasi kurang kuat.
Namun, apabila saya telah menulis beberapa helai dalam prakata buku Minda Syariah, saya dapat rasakan dengan kuat bahawa buku ini akan membuat sumbangan dalam banyak aspek bukan sahaja kepada kandungan Syariah dan amalan kewangan Islam tapi juga, tidak kurang pentingnya, cara persembahan penulisan saya. Saya telah jumpa cara penulisan dan persembahan yang sesuai dengan diri saya dan tema serta isu yang ingin saya bawa. Temanya berat tapi cara persembahannya adalah cukup bersantai tapi mantap. Bagi saya, kalau anda sudah berjaya menulis prakata buku walaupun untuk beberapa helai sahaja dan anda puas hati dengan hopotesis atau tema atau usul yang ingin dibawa, anda boleh mula bermimpi untuk satu buku yang akan memuaskan cita rasa anda walaupun mungkin masih ada bebetapa kelompongan dan kekurangan dalam banyak aspek.
Kelompongan dan kekurangan adalah perkara biasa dalam penulisan dan berkarya. Kalau nak tunggu sempurna, mungkin anda mati dahulu sebelum sempat menulis buku anda sendiri atau pun bila usia anda sudah lanjut dengan kesihatan badan yang semakin merosot.
Saya juga terpalit dengan sikap kurang produktif sebegini. Saya banyak bertangguh untuk menulis buku pertama saya. Saya menyesal sebab tidak bertekad dan bulat hati untuk menulis buku lebih awal lagi. Sesal dulu berpendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Kekesalan ini saya tukarkan menjadi motivasi untuk cepat-cepat menulis buku sulung saya walaupun dalam usia yang agak berumur dan kesebukan yang semakin bertambah. Saya hanya ada dua pilihan. Tiada pilihan ketiga. Samada saya cepat-cepat menulis atau saya terus meratap kekesalan saya. Ramai orang kesal dan sesal dan kemudian merasa bahagia dengan perasaan kesalan mereka seolah-olah mereka telah insaf sepenuhnya tapi tak melakukan apa-apa pun. Apa guna kesal kalau tidak bangun dan menyinsing tangan serta meredah belukar berduri mencari rotan atau menyelam mencari mutiara dalam dakapan kerang di dasar laut. Itu kesal kosong dan hanya sedap di mulut dan dihati. Ianya juga satu penipuan dan pembohongan diri sendiri.
Seorang sarjana Islam, muda atau tua, tidak sepatutnya tidak ada mimpi untuk menulis buku sendiri. Tak kisahlah apakah tema dan bentuk buku tersebut. Saya pun tiada mimpi yang kuat untuk menulis sebelum tahun 2015. Namun saya tersentak apabila DYMM Seri Paduka Sultan Nazrin Muizuddin Shah, dalam salah satu perbincangan selepas upacara perasmian KLIFF 2014, telah membuat komen bahawa semua orang telah menulis tentang gagasan kewangan Islam tetapi tidak ada atau jarang ada buku yang telah ditulis oleh sarjana Syariah kewangan Islam sendiri. Saya menjawab, "InsyaAllah, patik akan kemukakan beberapa nama buku yang ditulis oleh sarjana Islam dalam tempuh beberapa bulan". Setelah berlalu beberapa bulan, saya sedar memang tiada buku yang berbentuk gagasan dan wawasan dalam pasaran. Kebanyakkan buku yang ada adalah terlalu teknikal dan akademik.
Ini juga satu motivasi kepada saya untuk menutup ruang yang kosong (gap) dalam bidang karya kewangan Islam. Bagitulah juga dalam kehidupan. Bekerja kuat dan keras tidak semestinya yang terbaik. Tapi kerja dan amalan yang menutup kelompongan dan ruang kosong dalam kehidupan dan masyarkat adalah lebih baik (awla). Kerja yang paling memberikan manfaat kepada manusia (seperti maksud hadith Nabi SAW) adalah lebih utama dan bukannya kerja yang hanya memberkan kepuasan kepada diri sendiri.
Di sini saya ingin berkongsi satu rahsia yang saya baru ketemui. Apabila anda telah bejaya menulis sebuah buku ataupun dalam proses menyiapkan sebuah buku, anda dapat rasakan bahawa menulis buku bukanlah satu perkara yang payah dan sukar. Seolah-olah ada 'tangan ghaib' yang menolong anda. Saya tidak tahu tentang penulis-penulis yang lain. Bagi saya, pintu ilham daripada Allah terbuka kepada saya buat pertama kali. Mungkin Allah suka dan merahmati orang yang menulis buku sebab untuk menulis sesuatu, anda kena banyak belajar, membaca dan memikir. Semua sifat-sifat itu ada dalam al-Quran. Ini mungkin rahsia kenapa ulamak-ulamak silam kita menulis dengan banyak dalam semua bidang ilmu. Kalau kita hitungkan jumlah helaian buku-buku dengan usia mereka, sudah tentu kita hairan dengan nisbah produktiviti mereka khususnya ulamak yang meninggal awal di usia muda seperti al-Shafi'i, Ibn Taymiyyah dan al-Nawawi. Kalau itu telah berlaku di zaman lampau, kenapa tidak di zaman sekarang?
Apabila saya tengah menulis buku pertama saya iaitu Minda Syariah, minda saya turut termotivasi untuk menulis buku-buku lain dengan tema yang lain. Saya tidak boleh mengenepikan desakan minda ini. Anda tidak boleh mengatakan "tidak" kepada idea dan ilham khususnya yang datang dalam keadaan yang segar dan wajah baru. Kalau anda mengambil sikap untuk menangguhkan idea dan ilham ini, ia mungkin tak akan datang kembali. Saya tidak boleh mengambil risiko ini. Dalam masa penulisan buku pertama saya, saya juga telah menulis dengan tekun buku kedua saya iaitu Saya Ada 25 Jam Sehari dan buku ketiga saya yang akan diterbitkan nanti iaitu "Emirates Airlines Sukuk: Pushing the Boundaries of Islamic Finance" iaitu sebuah buku anatomi sukuk dan juga sebuah buku motivasi dan perancangan strategik.
Yang menariknya buku yang sepatutnya menjadi buku kedua dan ketiga saya telah menjadi buku keenam dan ketujuh dalam siri perancangan berkarya saya. Saya amat aktif menulis tentang maqasid al-Syariah dan juga anatomi fatwa sebagai buku kedua dan ketiga pada satu masa dahulu tetapi tema-tema ini terpaksa dilewatkan sekejap untuk memberi ruang kepada tema-tema lain yang berilham tinggi dan mengalir laju seperti air sungai selepas hujan yang lebat. Memang banyak nak menulis dengan idea yang mecurah-curah tetapi sebagai seorang usahawan yang berdiri sendiri, saya terpaksa membuat perimbangan masa untuk semua aktiviti bisnes dan juga berkarya. Memang payah tetapi itulah realiti. Kadang-kadang timbul perasaan kalaulah boleh, saya hanya ingin jadi seorang penulis. Alangkah baik dan indahnya menjadi penulis sepenuh masa.
Saya rasa saya dapat banyak manfaat untuk diri saya sendiri apabila saya telah menulis buku. Mungkin anda seronok baca buku-buku saya tetapi mungkin anda tidak tahu bahawa saya lebih lagi seronok. Saya sekarang selalu termotivasi. Ada ruang saja masa lapang tidak kiralah di mana dan waktu manapun, saya akan terus menulis beberapa perenggan dan bahagian dalam pelbagai buku saya. Buat masa sekarang saya sedang menulis 5 buah buku secara serentak untuk tahun 2017. Di tahun 2016, insyaAllah saya telah ada 3 karya utama. Salah satu karya untuk tahun 2017 ialah Minda Syariah (Bahagian Ke 2). Mungkin anda hairan. Bagi saya, kalau anda sudah ada satu gagasan idea yang mantap, anda boleh kembangkan idea itu dalam bentuk bersiri. Siri kedua ini akan lebih 'mengancam' dan 'berterus terang' untuk menjadikan sarjana Syariah benar-benar berfungsi dan disanjungi oleh semua pihak dalam kewangan Islam.
Bila lagi anda ingin mencuba menulis? Saya selalunya mula penulisan saya dengan menulis prakata dalam 3-5 muka surat dan kemudian membentuk isi kandungan buku yang boleh saya fikirkan. Kalau saya dapat buat ini dengan kualiti yang baik, saya sudah pun siap 50% buku saya....walaupun ini hanya metafor dan kiasan, itulah realiti dalam dunia karyawan saya. Prakata adalah hati dan jantung kepada buku saya. Prakata akan terus membakar semangat saya kerana ia adalah cetusan minda dan perasaan saya. Ianya terlalu dekat di hari saya sebab saya akan pilih setiap perkataan dan olahan bahasa secara teliti.
*Foto-foto di bawah adalah gambar hiasan sekitar majis perlancaran buku sulung saya pada 23 Mac 2016.
bidang anatomi 在 Dr Mohd Daud Bakar - Shariah Minds - Minda Syariah Facebook 的最佳貼文
Wawancara Siri 3 Jejak Anak Kampung Menjadi Warga Global - Abu Dhabi, 5 November 2016
Mohd Danial Madani (MDM) :
Setelah pembaca mengetahui sedikit sebanyak berkaitan latarbelakang Datuk, keluarga dan pengajian, pasti pembaca ingin mengetahui siapakah Datuk sekarang di persada antrabangsa? Saya rasa ramai yang belum tahu secara terperinci. Boleh Datuk kongsikan?
Datuk Dr Mohd Daud Bakar (MDB) :
Terus terang saya boleh sebut bahawa saya mungkin lebih dikenali di luar Malaysia berbanding di Malaysia. Saya kerap berada di luar negara sepanjang tahun dan kadang-kadang lebih dari 180 hari dalam setahun. Berapa hari kita ada dalam setahun?
Alhmdulillah, penglibatan saya di peringkat antarabangsa bermula agak awal dalam kerjaya saya. Saya telah dijemput untuk membuat pembentangan ringkas di hadapan ulamak-ulamak besar dunia Islam dalam AAOIFI seperti Sheikh Dr Wahbah Zuhayli (semoga Allah merahmati ruh beliau), Sheikh Dr Abdul Sattar Abu Ghuddah, Sheikh Nizam Yaquby dan lain-lain lagi di Bahrain pada tahun 1997. Sudah pasti saya cukup gementar sampai ke satu tahap pemikiran yang saya tak nak ulang lagi pengalaman memberi pembentangan di hadapan tokoh-tokoh ini. Dalam hati saya, ini adalah kali pertama dan terakhir. Berpeluh dan gugup beberapa kali.
Tokoh-tokoh ulamak dalam masyarakat tersebut adalah cukup 'mesra alam'. Manusia yang hebat tapi rendah diri dan 'approachable'. Komen positif mereka terhadap pembentangan saya telah melonjak keyakinan diri saya. Saya juga perasaan bahawa keperibadian saya yang dibentuk sejak saya belajar di Kuwait dalam program 'diwaniyah' hampir setiap minggu telah banyak membantu saya menyesuaikan diri dengan mudah dengan sesiapa sahaja dari pelbagai latar belakang, pangkat, kedudukan sosial, umur dan bahasa.
Pernah anda dengar diwaniyah? Diwaniyah adalah majlis terbuka yang diadakan di rumah seorang tokoh masyarakat di mana semua jemputan akan duduk di atas lantai untuk mendengar dan meraikan tetamu istemewa dari luar negara. Yang lebih teruja apabila saya diminta untuk memberikan terjemahan dari bahasa Malaysia ke bahasa Arab apabila tetamu jemputan itu dari Malaysia atau Indonesia. Saya sedari bahasa Arab saya pada ketika itu tidaklah sehebat mana tapi itulah pentas antarabangsa saya yang pertama. Impak kepada keyakinan diri dan keperibadian saya adalah luar biasa. Bukan lagi linear atau mendatar. Eskponensi.
Berbalik kepada pengalaman pertama di Bahrain, walaupun saya masih muda dan tiada pengalaman pada waktu itu, tokoh-tokoh ulamak kewangan Islam antarabangsa di AAOIFI agak selesa dengan keperibadian kesarjanaan dan 'interpersonal skills' yang saya ada. Saya akan cerita tentang skil ini nanti
Alhamdulillah, saya telah dijemput untuk menyertai satu badan penasihat Syariah untuk sebuah syarikat pembiayaan perumahan di Amerika iaitu Guidance Financial dalam tahun 1997. Istimewanya, 5 ahli penasihat Syariahnya adalah antara tokoh terbilang dalam dunia kewangan Islam antarabangsa. Saya adalah ahli yang ke-6. Bagitu terharu dan kerdil dapat bersama mereka. Saya adalah satu-satunya dari Malaysia dan juga paling muda. Paling tidak berpengalaman. Tapi semua orang bermula dari langkah pertama, betulkan? Pastikan langkah pertama anda tepat.
Momentum keantarabangsaan saya telah bermula dari saat ini. Impak penglibatan saya di peringkat antarabangsa semakin jelas sebagai tokoh sarjana Syariah Malaysia yang diharapkan penglibatannya di persada antarabangsa. Beberapa bulan selepas itu, saya telah dilantik menanggotai badan penasihat Syariah Dow Jones Islamic Index. Yang menariknya adalah anggota badan penasihat Syariah Dow Jones ini adalah hampir sama dengan badan penasihat Syariah Guidance Financial.
Keserasian dan keyakinan telah terbina antara kami. Itulah manusia dan kehidupan manusia. Apa yang lebih penting dari keserasian dan keyakinan dalam kehidupan? Kalau salah satu sudah tiada, kehidupan organisasi akan goncang.
Penglibatan saya semakin aktif di awal tahun 2000. Saya telah dilantik dalam Majlis Penasihat Syariah AAOIFI di Bahrain. AAOIFI adalah badan tertinggi di dunia yang diamanahkan untuk mengeluarkan piawan Syariah untuk kewangan Islam antarabangsa. Ini satu penghormatan kepada saya sebagai seorang yang paling muda. Ia adalah peluang untuk mempelajari prinsip-prinsip Syariah secara teknikal dan vokasional dan juga menjadikan saya sarjana Syariah yang betul-betul global.
Saya kemudiannya dijemput menganggotai banyak badan-badan penasihat Syariah di seluruh benua : Timur Tengah (UAE, Bahrain, Saudi dan Oman), Asia Pasifik termasuk Australia, Eropah, Afrika dan juga Amerika. Mengikut satu kajian, saya adalah antara lima (5) tokoh penasihat Syariah yang paling aktif di dunia berdasarkan bilangan institusi kewangan yang saya (dan empat orang lagi dalam senarai tersebut) terlibat sebagai penasihat Syariah. Walaupun kajian ini mungkin kurang tepat dari beberapa fakta dan data, ia tetap memberikan satu indeks tentang sejauh mana keterlibatan saya di peringkat antarabangsa (dan juga Malaysia).
Di samping penglibatan saya melalui kapasiti peribadi, saya juga aktif melalui syarikat saya iaitu Amanie Advisors yang mempunyai operasi di 9 ibu kita dunia seperti Dubai, Casablanca, Seoul dan Almaty. Saya akan berkongsi tentang sejarah dan aktiviti Kumpulan Amanie dalam wawancara yang berasingan. Ia ada sejarahnya sendiri berbeza dengan sejarah diri saya secara peribadi.
Dalam kerjaya saya sebagai penasihat Syariah, saya juga aktif sebagai penasihat Syariah untuk meluluskan mana-mana instrumen sukuk yang bakal diterbitkan untik dilanggani oleh para pelabur. Kelulusan Syariah adalah penting kerana instrumen sukuk adalah sebahagian daripada pasaran modal Islam yang boleh dilanggani oleh sesiapa sahaja dan juga boleh diniaga oleh sesiapa sahaja berdasarkan permintaan dan bekalan. Ianya untuk semua dan bukan terhad kepada sekelompok kecil. Ketelusan (transparency) dan penzahiran (disclosure) dalam semua aspek termasuk kepatuhan Syariah adalah penting untuk mengelak risiko yang menyeluruh dan menggugat kestabilan pasaran (systemic risk). Maaf kerana menggunakan sedikit istilah-istilah teknikal di sini untuk tujuan pendidikan kepada sebahagian pembaca secara tak langsung. Sambil menyelam minum air bak kata pepatah Melayu.
Alhamdulillah, saya amat aktif dalam sektor ini. Berdasarkan lapuran Bloomberg dalam seksyen sukuk mereka, saya adalah seorang penasihat Syariah yang paling banyak terlibat dalam pengesahan sukuk di dunia bermula dari awal tahun 2000 walupun kebanyakkannya adalah diterbitkan di Malaysia sebab pasaran sukuk di tempat lain hanya bermula sekitar 2005-2006. Saya dianggap otoriti dan sarjana Syariah yang senior dalam bidang sukuk di persada antarabangsa buat masa ini kerana keterlibatan saya secara langsung dalam jumlah terbitan sukuk yang banyak dan juga sukuk yang baru dan inovatif. Buku ketiga saya yang bakal berada di pasaran di penghujung tahun 2016 adalah berkaitan dengan anatomi sukuk.
Di peringkat pembentangan dan forum antarabangsa, berdasarkan senarai catitan dalam resume saya, saya percaya saya telah membuat pembentangan atau aktiviti media hampir setiap minggu di sepanjang tahun secara purata. Ini tidak termasuk aktiviti di Malaysia. Ini adalah purata penyertaan saya di pentas antarabangsa sejak tahun 2005. Pembentangan di buat dalam kedua-dua bahasa Arab dan Inggeris dan juga di pasaran yang maju dan juga pasaran yang baru dan mencabar seperti Kabul dan Afrika Selatan serta Nairobi. Mungkin saya paling banyak membuat pembentangan di pentas antarabangsa di kalangan semua rakyat Malaysia. Anda mungkin bertanya 'berapa banyak'. Saya tidak ada jawapan yang tepat. Paling kurang 40-50 pembentangan dan aktiviti media setiap tahun di luar negara.
Saya mempunyai kelebihan atau 'advantage' untuk selalu berada di pentas antarabangsa sebab saya adalah seorang usahawan. Bekerja sendiri dan saya tidak ada bos. Saya tidak perlu mendapat perlepasan atau cuti untuk keluar negara. Ini adalah antara sebab saya meletak jawatan sebagai Timbalan Rektor dan juga pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada tahun 2005. Sesiapa saja yang ingin aktif di persada antarabangsa mesti 'ringan' untuk terbang di mana dan bila-bila masa sahaja. Tiada pemberat dan penghalang dalam kehidupan keantarabangsaan anda. Ingat anda perlu tetap menaiki pesawat komersil untuk terbang yang mempunyai masa dan jadualnya yang tersendiri. Lebih banyak masa diperlukan. Anda tidak usah bimbang kalau anda sudah ada pesawat khas atau pun pakaian khas 'Iron Man'.
Apa yang saya perolehi daripada aktiviti luar negara? Pengalaman dan perspektif kehidupan baru hampir setiap bulan jika tidak pun setiap minggu. Yang lebih penting ialah rakan dan kenalan baru. Senarai kenalan saya di seluruh dunia adalah sesuatu yang paling bernilai dalam kehidupan dan perniagaan. 'Network' adalah aset yang penting di samping aset kewangan dalam bisnes.
Paling kurang pun saya akan mendapat mata penerbangan (millage) yang banyak setiap tahun. Saya pernah mencecah rekod 1,000,000 mata. Itu juga satu pencapaian peribadi. Mungkin saya telah layak dipertimbangkan oleh Malaysia Book of Record sebagai rakyat Malaysia yang paling banyak terbang dan hidup di awan biru dalam ketegori orang awam dengan mengecualikan juruterbang dan pramugara serta pramugari rakyat Malaysia. Kenapa tidak boleh dipertimbangkan kalau saya benar-benar layak?
Inilah bingkisan jawapan yang disediakan di atas pesawat yang berada 40,000 kaki dari aras laut dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Abu Dhabi. Sekarang dalam misi perjalanan ke 4 buah negara dalam temph masa 6 hari. Inilah rutin kehidupan saya antara iklim Malaysia dan iklim dan lanskap antrabangsa.